Galeri Sultan Azlan Shah,sebuah Galeri yang indah telah dibina semula dari istana lama iaitu Istana Ulu.Istana ini terletak kira-kira 1.5 km dari Pekan Kuala Kangsar di atas sebidang tanah di Mukim Sayong.Istana Ulu atau dikenali juga dengan Istana Kota ini terletak di Bukit Candan,Kuala Kangsar tidak jauh dari Masjid Ubudiah.Istana ini pada asalnya,ialah tempat persemayaman Sultan Perak yang ke-28,Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah yang memerintah dari tahun 1887-1916.
Istana ini mula dibina pada tahun 1898 dan siap pada tahun 1903.Pada tahun 1916,Istana Ulu ini telah disemayami oleh Sultan Abdul Jalil,putera Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah.Selepas kemangkatan Sultan Abdul Jalil pada tahun 1918,Istana ini telah disemayami pula oleh pula putera Baginda,Sultan Yussuf Izzuddin Shah,Sultan Perak yang ke-32 yang memerintah Negeri Perakdari tahun 1948-1963.
Menurut sejarah,pusat Kesultanan Perak bermula di Tanah Abang iaitu pada tahun 1594.Sultan Perak yang ke-2 iaitu Sultan Mansur Shah 1,telah memindahkan kota tersebut ke Kota Lama Kanan iaitu kira-kira 2 batu mudik melalui Sungai Perak dari Kuala Kangsar.Kota lama Kanan telah kekal menjadi pusat pentadbiran kerajaan Negeri Perak sehinggalah pemerintahan Sultan Perak yang ke-27.
Apabila Sultan Idris ditabalkan menjadi Sultan,Baginda telah memindahkan kawasan pemerintah dari Sayong ke Bukit Candan.Baginda telah membina sebuah istana berhampiran dengan Batang Hari iaitu dikenali sebagai Istana Negara pada tahun 1895.Berlakulah kemajuan yang pesat di sebelah Bukit Chandan dimana kemudiannya Baginda telah membina 2 buah istana serentak iaitu Istana Ulu dan Istana Hilir.Istana Ulu,digunakan sebagai tempat persemayamam baginda.

GALERI SULTAN AZLAN SHAH
Galeri Sultan Azlan Shah yang indah adan menarik seni binanya dibangunkan setaraf galeri yang terdapat diluar negara.Ini dizahirkan bermula dari cetusan pemikiran Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbudin Shah atas berkenan untuk dijadikan pengetahuan umum akan laluan perjalanan hidup Baginda.
Majlis mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 13 Jun 2001 telah meluluskan penubuhan Galeri Sultan Azlan Shah bertempat di Istana Ulu,Kuala Kangsar.Jabatan Kerja Raya sebagai penguasa projek telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus pembinaan bangunan ini.Projek ini dimulakan pada 30 November 2001 dan telah siap sepenuhnya pada 15 April 2003.
Raja Azlan Shah diperlihatkan sifat kesungguhan dan ketekunan yang tinggi dalam usaha menguasai ilmu dan pengetahuan sejak memulakan alam persekolahan bermula dari Sekolah Melayu Batu Gajah,disusuli di Sekolah Inggeris Batu Gajah hingga memperoleh ‘School Certificate’ dengan keputusan cermerlang dalam matapelajaran Bahasa Inggeris,Bahasa Melayu dan Bahasa Latin.Baginda seterusnya meneruskan persekolahan ke Tingkatan Enam di Maktab Melayu Kuala Kangsar.
Sewaktu dibangku sekolah Baginda adalah seorang aktivis pelajar,melalui PERMI,Baginda turut serta menyalakan obor perjuangan yang diasaskan oleh Aminuddin Baki menyedarkan betapa pentingnya ilmu dan pengetahuan dalam menentukan kemajuan dan martabat bangsa.Baginda memperlihatkan bakat kepimpinan terserlah hingga dilantik menjadi Ketua Murid di Sekolah Inggeris Batu Gajah dalam tahun 1948.Baginda juga adalah olahragawan,pelari pecut terpantas di era tersebut,mewakili sekolah dalam permainan kriket,Bola sepak dan hoki,merupakan penyerang yang digeruni dalam sukan hoki ketika mewakili sekolah dan negeri Perak.Raja Azlan Shah Berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University Of Nottingham dalam tahun 1953 dan setahun kemudian diterima sebagai ‘Barrister-at-law’ di Lincoln’s Inn United Kingdom pada 23 November 1954.
Sekembali ke tanah air,Baginda dilantik sebagai penolong setiausaha kerajaan perak.Undang-undang adalah pilihan utama baginda.Baginda memulakan perkhimatan perundangan sebagai seorang majestret.Pada 7 November !982,Baginda sampai ke puncak perkhimatan perundangan sebagai Ketua hakim Negara.Lebih 1000 kes telah dibicarakan oleh Baginda.Masyarakat amat mengenali Raja Azlan Shah sebagai seorang hakim yang jujur,berani,adil,tegas lagi bijaksana yang sentiasa berpegang kepada prinsip menegakkan kedaulatan undang-undang,mengujudkan kesaksamaan,keadilan dan kebenaran.Sesungguhnya Baginda Berjaya membina imej perkhimatan kehakiman yang dihormati baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Di samping menumpukan pemikiran dalam tugas kehakiman,Baginda turut memainkan peranan aktif dalam dunia pendidikan negara .Baginda diberikan penghormatan menjadi pengerusi Majlis Penasihat Pelajaran Tinggi dalam tahun 1974,menjadi pro Canselor Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1971 hingga ke tahun 1984.Baginda pernah berperanan sebagai pemeriksa luar bagi Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Universiti Malaya,Pada Hari ini Baginda adalah Canselor Universiti Malaya.
Baginda adalah seorang pemimpin sukan berkaliber,memimpin Persekutuan Hoki Malaysia,sebagai Timbalan Presiden kepada Tun Abdul Razak dan Tun Abdul Hussein Onn dan dilantik sebagai Presiden pada tahun 1981.Baginda juga adalah Presiden Persekutuan Hoki Asia dan Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa.Dalam tahun 1975,Baginda bertanggungjawab mengelolakan dengan cemerlang kejohanan Hoki Dunia Ketiga,disamping menjadi tenaga utama kepada kejayaan pasukan hoki negara hingga layak ke pertandingan Separuh akhir dan mendapat tempat keempat di dunia.
Sepanjang laluan hidup yang mencipta kejayaan dan kecermelangan dalam setiap bidang yang baginda melibatkan diri,Sultan Azlan Shah telah dikurniakan anugerah akademik oleh beberapa universiti dan bintang kehormatan oleh banyak negara,baik dari dalam mahupun dari luar negara.
Warna-warna hidup indah terlukis di kanvas kehidupan Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah.Sesungguhnya laluan dan liku hidup yang begitu gemilang telah memberi satu rasa kebanggaan pada rakyat di negeri kepada rakyat di Negeri Perak Darul Ridzuan,bersultan seorang raja yang nama dan jasa baginda patut diukirkan dengan tinta emas.
Galeri ini adalah salah satu pendekatan terbaik untuk merakamkan laluan dan peristiwa yang telah Duli Tuanku cipta dan ukir supaya dapat diikuti dan di hayati oleh rakyat jelata.Galeri ini bukan sahaja dapat berfungsi sebagai sumber rujukan ,malah membolehkan rakyat mengenali lebih mendalam seorang raja yang berdaulat lagi dikasihi,hatta hingga ke peringkat dapat meningkatkan fahaman dan apresiasi rakyat terhadap Institusi Raja Berperlembagaan.
